CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, April 16, 2012

PR tekad hapus PTPTN - Yusmadi

Isnin, 2 April 2012






Pakatan Rakyat (PR) bertegas akan menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan menukarnya kepada skim biasiswa yang lebih mesra rakyat.

Ahli Parlimen Balik Pulau dari PKR, Yusmadi Yusoff berkata, apa yang dilakukan PR bukanlah menghapuskan terus skim seperti PTPTN kerana menyedari anak golongan­ miskin masih memerlukan perbelanjaan untuk ke menara gading.

Menurutnya, oleh itu, PR akan merombak PTPTN jika berjaya merampas Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kerana berpendapat pelajaran percuma untuk rakyat adalah keutamaan negara.

“Kita sudah membuat kira-kira, kerajaan sebenarnya mampu menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat dari peringkat bawah hingga tertinggi.

“Kita tidak boleh bandingkan negara kita dengan negara maju di Eropah seperti Jerman yang menyediakan pendidikan percuma, tetapi kita boleh bandingkan dengan Turki di mana mereka mampu melakukannya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, PTPTN bersifat amat menghukum kepada peminjam-peminjam contohnya seperti menyenaraikan hitam nama untuk ke luar negara dan memaksa pembayaran dibuat walaupun iklim ekonomi yang tidak menentu.

“PTPTN amat menghukum dan perlu dibatalkan. Oleh itu, kita akan rancang satu skim yang lebih membantu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota dari PKR, Azan Ismail pula menjelaskan permintaan untuk menukar PTPTN kepada biasiswa sebenarnya sudah lama dibuat, namun tiada perkembangan mengenainya.

Katanya, kerajaan sepatutnya sudah berjaya menyediakan pendidikan­ percuma kepada rakyat dengan kekuatan ekonomi sedia ada.

“Sebagai kerajaan, memang mereka wajib menyediakan pendidikan percuma seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara," katanya.

Pada 14 April ini, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan mengadakan satu perhimpunan besar-besaran menuntut pinjaman PTPTN dimansuhkan di Dataran Merdeka yang dijangka dihadiri 5,000 orang.

Sebelum itu, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, partinya akan menyokong tindakan pelajar yang akan berhimpun menuntut supaya PTPTN dihapuskan.

Menurutnya, Pas juga akan menyokong tuntutan supaya hutang PTPTN yang ditanggung pelajar kini dihapus oleh kerajaan menjelang PRU13.

Katanya, langkah itu perlu dilakukan memandangkan kerajaan sanggup menghapus kira pinjaman mudah yang diberikan kepada golongan korporat yang mempunyai kaitan dengan Umno.

-SinarHarian

0 comments: