CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, January 11, 2012

Terowong Jepun Di Kunak, Sabah (copy dari myamazingsabah.blogspot.com)

D/A: http://myamazingsabah.blogspot.com



(Fakta) Terowong Jepun Di Kunak, Sabah




Daerah Kunak, Sabah mempunyai banyak kawasan berpotensi untuk dijadikan pusat pelancongan. Malahan terdapat kesan-kesan peninggalan tentera Jepun iaitu sebuah terowong lama menghala ke laut yang berpotensi untuk menarik pelancong dalam dan luar negara untuk datang ke sini.

"Di mana terletak Kunak?" Demikianlah pertanyaan yang kerap diajukan kepada Pegawai Daerah Kunak, Susilo Sumarto, setiap kali dia menyebut nama daerah itu kepada orang luar.

Melalui pengalaman itu, beliau menyimpulkan bahawa masih ramai orang luar belum mengenali Kunak sebagaimana mereka mengenali Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Sandakan meskipun semua daerah berkenaan berada di Pantai Timur Sabah.

Orang luar, lebih-lebih lagi pelancong mengenali Semporna kerana pulau-pulau peranginannya, Sandakan dengan Orang Utannya, Lahad Datu melalui Lembah Danum dan Hutan Simpan Tabin manakala Tawau kerana makanan lautnya.

Mungkin Kunak kurang dikenali kerana ia belum dikaitkan dengan sebarang tarikan meskipun daerah yang terletak antara Semporna dan Lahad Datu ini sebenarnya mempunyai tarikan tersendiri.

Malah masih ramai menyangka Gua Madai yang terkenal dengan pengeluaran sarang burung serta memiliki nilai sejarah purba terletak dalam daerah Lahad Datu sedangkan ia sebenarnya berada dalam kawasan Kunak.

TEROWONG JEPUN
Keindahan Alam Daerah Kunak


Oleh kerana Kunak tidak menonjol, pentadbir daerah ini menganjurkan aktiviti bagi memperkenalkan apa yang ada di Kunak kepada masyarakat luar iaitu Karnival Kunak 2010 pada 17 dan 18 April, anjuran bersama Pemadam dan Jabatan Penerangan.

"Kita di daerah ini telah memikirkan tentang apa potensi sektor ekonomi, sosio-budaya dan pelancongan yang terdapat di Kunak yang boleh ditonjolkan. Kita dapati potensi itu memang ada.

"Salah satu daya tarikan tersendiri yang terdapat di Kunak dan belum dikenali masyarakat tempatan sendiri ialah kewujudan terowong Jepun yang dibina pada zaman Perang Dunia Kedua," katanya kepada Bernama di sini.

Susilo berkata terowong tanah sepanjang lapan kilometer dengan empat cabang yang terletak di ladang Sime Darby, kira-kira 12 kilometer dari pekan Kunak, dipercayai digunakan oleh tentera Jepun sebagai laluan rahsia untuk mengangkut serta menyimpan peralatan perang.

LORI 10 TAYAR BOLEH LALU

Terowong berkenaan dikatakan mampu dilalui oleh lori 10 tayar dan ditemui secara tidak sengaja pada tahun 1970-an oleh kaum Iban yang ditugas membersihkan kawasan hutan berkenaan. Mereka mengesan terowong berkenaan selepas melihat runtuhan sebahagian terowong bawah tanah itu.

Banyak perkara berkaitan terowong Jepun ini yang bergaris pusat empat meter masih menjadi misteri termasuk di mana terowong berkenaan bermula dan di mana pula ia berakhir.

Sehingga hari ini tiada sebarang rekod mengenai terowong ini.

Ada pihak yang mengandaikan bahawa terowong ini tembus hingga ke Laut Sulawesi.

Mengikut orang-orang tua di kawasan berkenaan, beberapa pihak telah cuba masuk dan meneroka terowong ini untuk membongkar rahsianya namun semuanya gagal kerana kekurangan udara dalam terowong ini.

"Anehnya setiap tahun, ada sahaja keluarga dari Jepun datang untuk melakukan upacara sembahyang mereka di kawasan berkenaan. Jadi bagi kita, terowong Jepun ini boleh dijadikan produk pelancongan sejarah," kata Susilo.

TEROWONG DITONJOLKAN

Walaupun tapak terowong Jepun berkenaan belum dibangunkan namun perkara itu telah dikemukakan ke Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah untuk diberi perhatian supaya potensinya dapat ditonjolkan.

Menurut Susilo, memandangkan kawasan berkenaan terletak dalam kawasan tanah persendirian, pendekatan membangunkannya, jika dipersetujui semua pihak ialah secara usahasama dengan pemilik tanah manakala hasilnya boleh dibahagi antara syarikat dan kerajaan.

"Gambar-gambar berkaitan terowong Jepun ini kita akan pamerkan sempena Karnival Kunak 2010 ini," katanya.

Susilo berkata selain terowong Jepun, bakal dipamerkan ialah gambar berkaitan tapak pengeluaran pinggan mangkuk purba yang terletak di sebuah ladang di Tingkayu. Tapak ini yang wujud 25,000 tahun lepas dipercayai menghasilkan peralatan dapur seperti periuk dan pinggan dan dianggap tercanggih pada zaman itu.

Potensi Gua Madai sebagai produk pelancongan inap desa seperti yang pernah dicadangkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun juga akan ditonjolkan pada karnival berkenaan.

PELBAGAI TARIKAN

Katanya Gua Madai bukan sahaja dianggap antara pengeluar sarang burung utama di Sabah tetapi juga mempunyai nilai sejarah purba kerana dikatakan penempatan awal manusia pernah wujud di kawasan ini.

Kunak juga kata Susilo memiliki produk pelancongan berasaskan alam sekitar seperti Air Terjun Madai setinggi 40 meter di kawasan Hutan Simpan Madai Baturong, kira-kira 15 kilometer dari pekan.

Keunikan kolam lumpur lava gunung api yang terletak di Ladang Binuang, bergaris pusat lima meter, yang didapati semakin membesar juga dianggap sebagai tarikan untuk pengunjung.

Lumpur lava ini yang kaya dengan mineral dipercayai ada kegunaan dalam merawat badan dan pengunjung boleh mendengar bunyi gelembung setiap kali gelembung lumpur berwarna kelabu melonjak ke permukaan.

Tidak ketinggalan untuk disaksikan pengunjung ialah tasik semulajadi yang dinamakan Tasik Impian serta kawasan tanaman kelapa sawit tertua di Borneo seluas dua hektar. Ia ditanam pada tahun 1957.

Kunak yang mempunyai kira-kira 62,000 penduduk dan merupakan daerah yang kaya dengan sumber marin seperti udang, ikan, ikan bilis dan ketam sama ada yang bersumber dari laut atau yang diternak dalam sangkar. Kunak juga adalah antara daerah pengeluar rumpai laut di Sabah dan pengeluar ikan keempat terbesar.

0 comments: